Tuesday 5 April 2016

Menggunakan Anologi Untuk Pengajaran: Bola Tampar dan Keimanan

Menggunakan Analogi untuk Pengajaran: Bola Tampar dan Iman Semalam tiba-tiba saya teringat tentang permainan bola tampar yang saya sangat aktif bermain sebelum bergelar pensyarah. dalam pada tu teringat bagaimana susahnya kita menjaga iman kita dengan adanya 5 musuh umat Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya. Satu kemahiran yang paling saya mahir dan suka ialah setting bola. Antara latihan yang saya selalu buat ialah melambung bola ke udara dengan menggunakan semua jari tangan. ketika latihan ini kita akan memberi fokus kepada bola dan pergerakan tangan dan jari kita supaya bola tidak lari ke arah lain selain daripada ke atas. Memang seronok apabila kita dapat melambung terus ke arah atas dengan pergerakan badan yang seolah-olah sebati dengan pergerakan bola tersebut. Walau bagaimanapun, apabila kita tidak ada mood atau kita tidak boleh memberi tumpuan kepada latihan ini, bola akan akan tersasar dari tangan kita dan akan jatuh ke arah lain. Kalau kita masih ada semangat untuk terus berlatih, kita akan mengambil bola tersebut sebelum ia bergolek lebih jauh. Kalau tak ada mood, kita akan biarkan bola tersebut bergolek dahulu sehingga ia berhenti sebelum kita pergi mengambilnya. Kalau kita langsung tidak ada semangat, kita akan biarkan sahaja bola tersebut hingga kadang-kadang kita lupa di mana bola itu berada. Kalau ada kawan sekitar kawasan kita bermain, dia mungkin akan tolong kita mengambil bola tersebut apabila kita meminta pertolongannya. Lebih baik lagi, dia mungkin akan mengejar bola tersebut dan membaling semula bola tersebut kepada kita supaya kita dapat berlatih semula. Bagi saya, kalau bola itu baru sahaja jatuh dan ada kawan tolong ambilkan, mungkin saya akan sambung berlatih semula. Tetapi kalau bola itu sudah lama jatuh dan malas hendak mengambilnya semula, serta tiada pula orang yang mahu segera mengambil bola tersebut, saya akan jadi malas untuk menyambung latihan walaupun ada orang tolong ambilkan bola itu dan berikan semula kepada kita. Keadaan ini bolehlah dikaitkan dengan iman kita, bagaimana kita menjaga iman kita. Bagaimana kita menjaga bola itu sama seperti kita menjaga iman kita. Sifat iman kita seperti bola itu, kadang-kadang ia berada tinggi dan sentiasa berada tinggi di udara. Kadang-kadang iman kita merudum dan jatuh seperti bola. Jatuh dan kita ambil kembali untuk dipelihara. Kadang-kadang jatuh dan kita malas nak menjaganya semula seperti bola yang jatuh dan kita malas hendak mengambilnya. Kadang-kadang iman kita jatuh dan kita langsung tidak kisah di mana iman kita berada, seperti mana kita tidak kisah di mana bola kita berada. Kesiannya kita. Satu tanda bahawa Allah redha dengan dan hidup kita diberkati oleh Allah ialah kita akan merasa sangat seronok beribadah. Terasa bahawa beribadah itu sangat manis dan menyeronokkan. Terasa seolah-olah Allah sentiasa ada bersama kita dalam semua keadaan. Terasa bahawa hidup kita ini telah diatur dengan teliti oleh Allah dan percaya bahawa segala apa yang berlaku kepada kita adalah aturan Allah untuk kita dan aturan itu adalah yang terbaik untuk kita daripada Allah. Sebagaimana kita seronok bermain bola tampar tersebut, kita akan menumpukan kemahiran dan tenaga kita untuk memastikan bola tampar tersebut sentiasa di udara tanpa jatuh ke tanah. Apabila kita seronok, kita tidak langsung mengeluh penat dan bermasam muka. Apabila kita seronok, bola yang jatuh kita akan segera ambil dan melambungkannya semula tanpa rasa marah. Berkali-kali kita menolak bola ke atas dan menyambutnya semula, terasa dada kita cukup lapang kerana keseronokan. Kita akan tersenyum kerana berjaya melambung bola dengan lama kerana kita begitu fokus, seolah-olah kemahiran itu begitu sebati dengan jiwa kita. Beribadah kepada Allah seumpama bermain melambung bola tersebut ke atas. apabila kita boleh memberikan tumpuan dengan baik, kita akan merasa seronok untuk terus beribadah. Iman kita sentiasa tinggi kedudukannya. Kita akan berterusan beribadah kerana beribadah tersebut telah memberi kita rasa seronok. Kepenatan beridah tidak akan dirasai dan kita akan rasa ingin terus beribadah apabila kita berseronok beribadah. Apabila kita seronok, kita akan teruskan beribadah walaupun kadang-kadang terdapat halangan seperti hilang tumpuan sekali sekala. Kita akan merasakan bahawa jiwa kita sangat tenang apabila dapat beribadah dengan sempurna dan susah hati apabila kita tidak dapat beribadah sebagaimana yang kita kehendaki. Ada ketikanya, kita akan rasa sangat malas untuk beribadah, seperti mana kita malas untuk terus bermain bola tampar itu. Kita ingin berhenti dan melayan rasa malas itu. apabila kita behenti melambung bola tampar tampar, ia akan berhenti bergerak di udara. Bola itu mungkin dalam dakapan kita atau kita biarkan sahaja di padang atau jauh ke dalam longkang. Yang pasti ia tidak lagi berada di kedudukan yang tinggi seperti sebelum ini. Terdapat dua kemungkinan berlaku kepada bola itu: kita masih memegangnya atau bola itu telah terlepas dari pegangan malahan pandangan kita. Begitulah iman kita. apabila kita tidak seronok lagi beribadah, iman kita akan menurun. Nasib baik ia masih dalam dakapan kita, nasib tak baik kita biarkan sahaja ia melata. Malang sungguh kalau kita langsung tidak mahu melihat lagi iman tersebut dan malas mencarinya semula. Apabila kita malas beribadah, kita sebenarnya membiarkan iman kita menjadi lemah. apabila kita malas beribadah, kita akan perlahan-lahan mematikan keseronokan untuk beribadah. Bagi yang tidak pernah bermain bola tampar dan tiada kemahiran untuk bermain bola tampar, mereka tidak akan rasa keseronokan untuk bermain bola tampar. Begitu juga dalam beribadah. jika kita tidak pernah beribadah dan tiada kemahiran dan pengetahuan tentang beribadah kepada Allah, kita tidak mungkin dapat merasakan kenikmatan beribadah. Semasa menunaikan umrah dahulu, saya ingin merasainya manisnya beribadah kepada Allah, dan saya dapat menikmatinya kerana saya berpeluang untuk beribadah secara berterusan di masjid Nabawi dan Masjidilharam. Kemasnisan itu begitu mendalam hinggakan terasa begitu berat untuk pulang ke hotel untuk makan dan begitu rindu untuk kembali berada ditempat yang sangat mulia di sisi Allah. Bagi yang tak pernah belajar bagaimana nak beribadah, tidak pernah dilatih untuk beribadah dengan mahir, dan tidak pernah memikirkan kenapa dia perlu beribadah, berkemungkinan besar dia tidak akan rasa seronok untuk beribadah dan merasai kemanisan beribadah. Mungkin suatu masa dahulu kita pernah merasa seronok beribadah tetapi sekarang kemanisan itu telah lama hilang kerana kita telah kurang beribadah, bermakna bola iman kita telah terjatuh dan terlepas dari dakapan kita. Jika kita masih ada kerinduan kepada iman yang teguh, pupuklah balik iman itu dengan mula beribadah semula. ibarat kita mencari semula bola kita dan bermain semula. Mintalah rakan-rakan membantu jika kita tidak berupaya mencari iman sendiri kita, ibarat kita meminta rakan-rakan mencari bola kita yang telah jatuh dan hilang. Terdapat dua musuh utama yang akan menghalang kita. Nafsu adalah musuh dalam diri kita yang akan menghalang kita melakukan perkara-perkara yang tidak boleh memuaskan dirinya. Iblis dan syaitan adalah musuh yang berada di luar diri kita tetapi sentiasa berusaha untuk menyesatkan kita daripada kebenaran. Kenalilah dua musuh utama ini dan sentiasa berdoa dengan Allah semoga dijauhkan kedua-duanya sepanjang masa. Sebagai rakan dan saudara seagama, kita juga bertanggungjawab membantu rakan-rakan kita yang telah sesat mengikut jalan iblis dan syaitan, jalan hawa nafsu yang menyimpang dari jalan kebenaran. Bantulah rakan-rakan mendapatkan semua iman masing-masing sebagaimana kita membantu mencari dan mengembalikan bola kepada rakan kita supaya rakan kita boleh bermain semula bola tampar. bola kita boleh nampak dan boleh dipegang tetapi iman adalah sesuatu yang sangat abstrak. Bantulah rakan-rakan kita dengan mengembalikan ingatan tentang iman dengan peringatan-peringatan, nasihat-nasihat, serta tunjuk ajar dengan cara yang berhikmah. Seperti kita membawa bola itu kepada rakan dan menggalakkan rakan kita bermain semula, kita juga perlu mengajak rakan kita kembali beribadah dengan cara yang lembut. Kemarahan bukanlah cara yang betul kerana Allah dan RasulNya turut membenci sifat tersebut. Pengajarannya...... menggunakan analogi untuk mengajar sesuatu yang abstrak akan memudahkan pelajar memahami konsep tersebut dengan lebih mudah. Analogi dengan sesuatu yang konkrit atau sesuatu pengalaman yang pernah dirasai atau dijiwai akan memudahkan konsep yang abstrak itu di simpan dalam kerangka kognitif seseorang. Mengajar sesuatu yang abstrak tanpa membuat perkaitan dan analogi akan menyebabkan pelajar tidak dapat meletakkan pengetahuan itu dalam kerangka kognitifnya kerana tiada acuan yang sesuai untuk diletakkan dalam pemikiran. Umpama iman yang diibaratkan seperti bola tampar tadi, apabila kita memberi peringatan kepada pelajar dan diri kita sendiri agar menjaga iman, mereka boleh membayangkan mereka akan memegang iman seperti memeluk bola tampar itu dan merasai kemanisan iman dengan membayangkan keseronokan bermain dengan bola tampar itu. Bola tampar tidak dimainkan dengan kaki seperti bola sepak, dan perlu sentiasa di udara agar dikira masih dalam permainan.

No comments:

Post a Comment

Apakah asal-usul doktrin Triniti (dalam Kristian)?

What is the origin of the Trinity doctrine? The New Encyclopædia Britannica  says: “Neither the word Trinity, nor the explicit doctrin...