Tuesday 27 March 2012

Apa hubungan dakwah dan pemasaran?

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Suatu pagi selepas menghantar isteri yang sedang sarat mengandung ke sekolah, saya mendengar perbincangan di radio IKIM berkenaan pesanan kepada anak2. Teringat saya kepada rancangan kami nak buat akikah kambing seekor dan majlis doa selamat. Terfikir nak jemput ustaz ahmad shukri hadir sama. Kalau lah dia sudi datang, mungkin boleh manfaatkan kehadirannya dengan minta dia bagi tazkirah sikit sebelum majlis kepada hadirin.

Itulah yang selalu bermain di fikiran saya, bagaimana kita nak menyampaikan dakwah kepada jalan Allah kepada orang-orang yang benar-benar memerlukan peringatan? Surau kat taman saya ni pun banyak buat kuliah agama, tapi berapa kerat sangatlah yang hadir. Apabila saya pergi ke kedai atau jalan-jalan sekitar taman, saya melihat masih ramai lagi yang tidak mematuhi perintah dan sentiasa melakukan maksiat. Majoriti wanita mendedahkan aurat masing-masing dengan tidak bertudung, kalau bertudung pakai baju lengan pendek atau ketat hingga menampakkan susuk tubuh, ada yang merokok termasuklah orang yang dah tahu merokok itu haram, dan sebagainya lagi. Saya terfikir bagaimana nak menyampaikan dakwah kepada orang-orang macam ni? Saya juga terfikir, adakah bijak pandai dalam agama juga tidak tahu bagaimana nak menyampaikan dakwah mereka kepada golongan ini selain daripada memberi kuliah agama di surau sahaja?

Apa kaitan dakwah dengan bidang pemasaran pulak? Sekilas pandang memang tak nampak kaitan antara dakwah dan pemasaran kerana dakwah berkenaan agama dan pemasaran adalah berkaitan dengan menjual barangan perniagaan. Sebenarnya kedua-duanya mempunyai matlamat yang serupa walaupun tak sama, iaitu suatu proses untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu idea atau barangan yang dimiliki kepada prospek atau orang ramai yang mungkin mampu membeli idea atau barangan tersebut. Jadi sama kan? Dakwah ingin menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada orang ramai supaya mereka boleh “membelinya” dan mengamalkannya ke arah keredhaan Allah, manakala pemasaran ingin menyampaikan maklumat tentang barangan atau idea yang hendak diperdagangkan, selanjutnya berharap orang ramai akan membeli idea atau barangan tersebut dan membawa keuntungan kepada peniaga berkenaan.

Bagaimana dakwah boleh mengambil teknik yang digunakan dalam pemasaran untuk manfaat umat Islam? Dalam pemasaran, pelbagai teknik digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada bakal pelanggan iaitu menerusi iklan di radio, TV, akhbar, pamplet, iklan tampal-tampal kat dinding, menerusi laman web, blog, menerusi e-mel, menerusi rancangan khas di radio atau TV, sesi ceramah, melalui jabatan, melalui guru-guru sekolah, melalui laman sosial seperti mukabuku (Facebook) atau twitter, YouTube, atau melalui pujuk rayu seperti cabutan bertuah yang ramai kena tipu tu (termasuk saya juga la, dah lama dah). Banyak betul teknik yang boleh digunakan. Kenapa kita tak berdakwah dengan cara yang sama?

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada remaja sekarang yang telah menggunakan saluran Facebook untuk berdakwah. Saya sangat gembira dengan usaha mereka ini ingin berdakwah dengan memberikan panduan yang berguna untuk rakan-rakan melalui perkongsian hadis nabi, kata-kata hikmah, nasihat, fatwa dan hukum Islam. Semoga Allah memberkati mereka semua dan meletakkan mereka sebaris dengan pejuang-pejuang Islam. Kekurangannya ialah kebanyakan rakan-rakan mereka ini adalah orang yang dah tentu baik-baik, dan ada lah segelintir yang masih belum mendapat cahaya iman yang hakiki. Bagaimana dengan pengguna facebook yang masih sesat di jalan yang salah? Adakah mereka turut membaca perkongsian melalui facebook ini? Mungkin sebahagian besarnya tidak pernah pun membaca post-post seperti itu.

Usaha-usaha dakwah pun telah banyak dilakukan melalui rancangan-rancangan agama di media massa seperti radio IKIM, TV Al-Hijrah, slot pagi di TV9, TV3, TV1 dan Astro Oasis. Bagi yang ingin mendalami ajaran Islam, rancangan-rancangan ini amat baik bagi orang-orang yang telah diberi hidayah oleh Allah untuk mendalami Islam. Tapi pernah tak kita terfikir, adakah orang-orang agak jauh terpesong dari Islam yang sebenar berminat untuk mengikuti rancangan-rancangan seperti ini? Bila tertekan rancangan-rancangan agama sama ada di radio atau TV, berapa ramaikah antara kita sendiri yang kekal mendengar atau menonton rancangan tersebut, atau kita tukar aje ke saluran lain? Jadi, bagaimana nak menyampaikan dakwah kepada golongan-golongan seperti ini?

Saya tabik hormat kepada golongan tabligh yang berani bergerak dari rumah ke rumah untuk berdakwah. Mereka berani, anda berani? Terus terang cakap, saya tak berani nak buat seperti itu. Saya sendiri pun sebenarnya rimas kalau didatangi oleh orang yang tidak kita kenal pada masa kita tidak bersedia untuk menerima tetamu. Satu lagi yang saya tak minat dengan cara itu ialah kerana mereka seperti memaksa kita menyatakan azam kita untuk bersama mereka dalam majlis yang mereka anjurkan, walaupun dalam hati tidak suka. Mungkin ramai juga yang berkongsi rasa dengan saya, sebab itu ada yang menutup pintu dan duduk diam-dalam dalam rumah, malah salampun tak dijawab. Mungkin dakwah cara ini pun kurang berkesan.

Teknik yang paling popular digunakan oleh bidang pemasaran ialah pengiklanan yang nyata berkesan. Maka, pendakwah pun patut menggunakan teknik yang sama untuk berdakwah. Iklan berbentuk banner adalah yang agak murah yang kita boleh gunakan sebagai satu organisasi kecil (surau atau masjid) atau persendirian. Kalau jabatan atau agensi kerajaan, boleh gunakan iklan TV atau radio untuk berdakwah, ia pendek (kurang 30 saat) dan orang ramai tidak akan tukar channel hanya kerana iklan yang sekejap tu. Oleh itu kita dapat menyampaikan maklumat dakwah kita kepada orang ramai tanpa perlu ada yang menutup telinga atau mata atau pintu rumah. Semua orang akan mendengar dan melihat iklan tersebut. Paling penting ialah maklumat yang diiklankan itu mestilah dapat meninggalkan kesan yang mendalam pada hati pembaca atau pendengar. Iklan bukanlah tempat yang sesuai untuk menjelaskan sesuatu isu, tetapi ia boleh juga memaparkan sumber untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut isu berkenaan.

Semoga coretan ini dapat memberikan idea baru kepada gerakan dakwah di Malaysia. Saya juga telah mencadangkan kepada surau kami untuk menghasilkan banner-banner dakwah yang sesuai untuk direntangkan di tempat-tempat strategik di taman kami. Semoga usaha ini dapat diteruskan dan menjadikan taman kami tempat yang diberkati oleh Allah SWT.

Tuesday 20 March 2012

MUHASABAH DIRI

Semasa saya belajar dulu, ustaz selalu berpesan, sebelum tidur kita kenalah muhasabah diri, mengingat kembali kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa yang kita lakukan seharian. Dengan itu kita mohon keampunan dengan Allah dosa kita dengannya, dan tanamkan azam untuk memohon maaf dengan orang lain jika kita ada membuat salah dengan mereka keesokannya. Itulah cara untuk menyucikan diri sebelum kita menghadapi mati kecil.

Muhasabah diri adalah serupa dengan refleksi kerana kita perlu melihat kembali apa yang telah kita lakukan seharian dan menilai semula adakah perbuatan kita itu merupakan satu kebaikan ataupun satu kesalahan yang membawa dosa. Sama ada kita sedar atau tidak. Melihat kembali ke dalam diri seolah-olah melihat diri sendiri menembusi cermin, kita tidak lihat rupa luaran kita sahaja tetapi juga melihat ke dalam hati kita.

Walau bagaimanapun, saya lebih suka menyatakan bahawa muhasabah diri atau refleksi kendiri mesti dilakukan sepanjang masa kita dalam keadaan sedar. Maknanya, kita perlu menilai apa yang akan kita akan lakukan sejak bermula dari bangun tidur lagi. Kita terjaga, kita akan fikir apa kita nak buat. Nak terus bangun ke atau baring semula sambung tidur? Kalau ikutkan hawa nafsu, kita akan sambung balik tidur, itu lagi seronok. Tapi kalau kita berjaya berfikir (itupun kalau kita berjaya menewaskan nafsu), kita boleh fikir akibat kalau kita sambung tidur iaitu kita akan bangun lewat, solat subuh pun mungkin akan terlepas dan kita akan dapat satu dosa yang besar.

Dari sudut lain, kita juga akan berfikir bahawa Allah masih mengurniakan nikmat hidup kepada kita, dan kita patut bersyukur kepadaNya, maka kita akan bertindak membaca doa bangun tidur. Bagi yang pernah belajar dengan kelebihan bangun pagi sebelum subuh, tentu akan memikir kembali apa yang telah dipelajari dan terus bangun untuk mempraktikkan pengetahuan yang telah diperolehnya itu. Itulah antara contoh bagaimana kita sentiasa perlu muhasabah diri sepanjang masa kita dalam keadaan sedar supaya kita dapat bertindak selepas berfikir tentang apa manfaat yang kita boleh dapat daripada setiap perbuatan kita.

Banyak lagi contoh yang boleh diberikan, tetapi terlalu panjang pula coretan ni. Tapi anda boleh fikirkan sendiri contohnya apa yang patut dibuat dan kenapa patut dibuat sedemikian ketika nak masuk bilik air, ketika menggosok gigi, ketika mandi, ketika berpakaian, ketika mengadap cermin, ketika bercakap dengan ahli keluarga, ketika berinteraksi dengan suami/ isteri dan anak-anak, ketika membawa kenderaan, ketika masuk ke kawasan sekolah atau tempat kerja, ketika melakukan tugasan, ketika berinteraksi dengan rakan dan pegawai atasan, dan sebagainya lagi.

Apa yang penting? Kita lakukan semua perkara kerana ingin mendapat keredhaan Allah. Inilah yang dimaksudkan oleh ustaz-ustaz buat sesuatu itu kerana Allah. Kerana Allah bermaksud kita buat sesuatu itu kerana ingin mendapat keredhaanNya dan bukan kemurkaan Allah. Lawannya ialah kita buat sesuatu itu kerana nafsu diri kita dan untuk dapat keredhaan selain daripada Allah seperti ketua jabatan, pengetua atau guru besar.

Kita perlu muhasabah diri sepanjang masa supaya kita sentiasa berada di jalan yang benar, jalan yang diredhai oleh Allah, jalan orang-orang yang diberi nikmat olehNya. Bukan jalan orang yang dimurkai Allah, dan jalan orang-orang yang sesat. Oleh itu kita kena sentiasa semak tindakan yang akan kita buat, sama ada ia akan diredhai oleh Allah atau akan dimurkai olehNya.

Perbuatan yang diredhai oleh Allah ialah perbuatan kebaikan yang diiringi niat untuk mendapat keredhaan Allah. Gosok gigi itu satu kebaikan untuk diri kita kerana ia akan membersihkan mulut kita. Tapi kebaikan itu akan jadi sia-sia kalau kita tidak berniat atau menetapkan matlamat mengosok gigi itu untuk mendapat keredhaan Allah kerana telah menurut perintahNya menjaga kebersihan. Begitu juga kalau kita memandu kereta ke tempat kerja. Ia satu kebajikan kerana kita dalam perjalanan untuk mencari rezeki yang halal, tapi jangan jadikan perjalanan itu sia-sia. Niatkan dalam hati sebelum melangkah keluar, atau kalau lupa, bila-bila masa dalam perjalanan tersebut, anda melakukan perjalanan itu kerana ingin mendapat keredhaan Allah kerana menurut perintahnya mencari rezeki yang halal. Insha’Allah, perbuatan kita itu akan diganjari oleh dengan pahala dan keberkatan.

Perbuatan yang dimurkai Allah boleh dielakkan jika kita muhasabah diri dulu sebelum melakukan sesuatu. Contohnya, apabila kita hendak berpakaian, kita nampak satu pakaian kita yang sangat cantik dan kita ingin memakainya untuk keluar rumah, tapi pakaian itu ketat sikit hingga menampakkan susuk tubuh. Kalau kita muhasabah diri, kita akan berfikir, adakah pakaian ini disukai oleh Allah? Allah suruh hambaNya menutup aurat, adakah pakaian ini akan menutup aurat kita? Adakah dengan memakai pakaian ini, kita dapat memenuhi perintah Allah untuk menutup aurat, atau ia hanya memenuhi tuntutan nafsu ingin kelihatan cantik, atau tuntutan kerja supaya kelihatan seksi dan cantik? Apabila kita bermuhasabah seperti ini sebelum kita memakai baju, pasti orang yang beriman dengan Allah akan mencari baju lain yang cantik juga, tapi menutup aurat. Pasti Allah akan memberi ganjaran pahala yang besar untuk kita.

Oleh itu, fikir-fikirkanlah sebelum bertindak. Muhasabahlah diri supaya kita tidak termasuk dalam jalan yang salah, yang dimurkai Allah. Implikasi perbuatan kita ada tiga: kita dapat pahala kerana melakukan kebaikan kerana ingin mendapat keredhaan Allah; kita tak dapat apa-apa kerana melakukan kebaikan tanpa niat kerana Allah; dan kita mendapat dosa dan laknat Allah kerana melakukan perbuatan dosa, mengingkari perintahNya dan melanggar laranganNya. Wallahua’lam.

Sunday 18 March 2012

Apa itu REFLEKSI?

Assalamualaikum. Segala puji bagi Allah SWT yang telah memberikan rezeki kepada kita untuk terus hidup dalam keimanan. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW yang telah menunjukkan cara terbaik kepada umatnya dalam usaha mencari keredhaan Allah SWT.

Apa itu refleksi? Satu persoalan yang sukar dijawab oleh guru-guru pelatih saya suatu masa dulu, malah ada juga pensyarah tidak dapat memberikan penerangan yang jelas bagaimana membuat refleksi. Bila nak buat refleksi? Satu lagi persoalan yang selalu ditanya oleh guru pelatih ketika praktikum. Selalunya refleksi dibuat selepas sesuatu pengajaran berlaku atau selepas seminggu praktikum. Adakah cara ini sesuai untuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan?

Ramai yang berpendapat bahawa refleksi itu ialah satu proses untuk mengingat kembali apa yang telah berlaku,menyatakan perasaan sendiri terhadap peristiwa tersebut, dan akhirnya memberi pendapat apa yang perlu dilakukan. Betul juga pendapat ini, tetapi ianya terlalu spesifik kepada perasaan yang bersifat emosi dan tidak banyak boleh dipelajari untuk berubah jika sekiranya kita tidak berusaha mengenal diri sendiri.

Kemahiran refleksi memerlukan seseorang itu memerhati secara terperinci apa yang berlaku sekelilingnya, dan menilai sama ada peristiwa tersebut berlaku disebabkan oleh tindakannya, perasaannya, alam sekitar, atau ada hubungan dengan orang lain. Seterusnya dia perlu menilai berdasarkan satu standard nilai (agama, etika, nilai masyarakat, panduan pengajaran, prosedur dan sebagainya)adakah sesuatu peristiwa yang berlaku itu adalah berdasarkan nilai yang baik, atau berlaku seperti yang sepatutnya. Dia perlu membuat analisis kenapa peristiwa itu berlaku dan adakah dia telah memberi reaksi yang sepatutnya ke atas peristiwa berkenaan. Setelah itu, dia perlu memikirkan bagaimana cara yang lebih sesuai untuk memberi reaksi ke atas peristiwa berkenaan berdasarkan nilai-nilai yang sepatutnya.

Setakat ini, refleksi yang berlaku hanya menilai peristiwa yang telah berlaku. Seterusnya, dia perlu merancang apa yang sepatutnya dibuat pada masa sekarang dan akan datang untuk memperbaiki keadaan, atau tindakan pada masa depan. Apa yang hendak dilaksanakan itu mesti sesuatu yang bertujuan untuk berubah kepada keadaan yang LEBIH BAIK. Dia juga perlu memikirkan bagaimana nak respon sekiranya peristiwa yang sama berlaku pada masa hadapan supaya dia dapat memberikan yang terbaik untuk menjaga hubungannya dengan Allah, hubungan dengan orang lain, hubungan dengan alam, dan juga untuk kebaikan diri sendiri.

Apakah asal-usul doktrin Triniti (dalam Kristian)?

What is the origin of the Trinity doctrine? The New Encyclopædia Britannica  says: “Neither the word Trinity, nor the explicit doctrin...