Tuesday 27 March 2012

Apa hubungan dakwah dan pemasaran?

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Suatu pagi selepas menghantar isteri yang sedang sarat mengandung ke sekolah, saya mendengar perbincangan di radio IKIM berkenaan pesanan kepada anak2. Teringat saya kepada rancangan kami nak buat akikah kambing seekor dan majlis doa selamat. Terfikir nak jemput ustaz ahmad shukri hadir sama. Kalau lah dia sudi datang, mungkin boleh manfaatkan kehadirannya dengan minta dia bagi tazkirah sikit sebelum majlis kepada hadirin.

Itulah yang selalu bermain di fikiran saya, bagaimana kita nak menyampaikan dakwah kepada jalan Allah kepada orang-orang yang benar-benar memerlukan peringatan? Surau kat taman saya ni pun banyak buat kuliah agama, tapi berapa kerat sangatlah yang hadir. Apabila saya pergi ke kedai atau jalan-jalan sekitar taman, saya melihat masih ramai lagi yang tidak mematuhi perintah dan sentiasa melakukan maksiat. Majoriti wanita mendedahkan aurat masing-masing dengan tidak bertudung, kalau bertudung pakai baju lengan pendek atau ketat hingga menampakkan susuk tubuh, ada yang merokok termasuklah orang yang dah tahu merokok itu haram, dan sebagainya lagi. Saya terfikir bagaimana nak menyampaikan dakwah kepada orang-orang macam ni? Saya juga terfikir, adakah bijak pandai dalam agama juga tidak tahu bagaimana nak menyampaikan dakwah mereka kepada golongan ini selain daripada memberi kuliah agama di surau sahaja?

Apa kaitan dakwah dengan bidang pemasaran pulak? Sekilas pandang memang tak nampak kaitan antara dakwah dan pemasaran kerana dakwah berkenaan agama dan pemasaran adalah berkaitan dengan menjual barangan perniagaan. Sebenarnya kedua-duanya mempunyai matlamat yang serupa walaupun tak sama, iaitu suatu proses untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu idea atau barangan yang dimiliki kepada prospek atau orang ramai yang mungkin mampu membeli idea atau barangan tersebut. Jadi sama kan? Dakwah ingin menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada orang ramai supaya mereka boleh “membelinya” dan mengamalkannya ke arah keredhaan Allah, manakala pemasaran ingin menyampaikan maklumat tentang barangan atau idea yang hendak diperdagangkan, selanjutnya berharap orang ramai akan membeli idea atau barangan tersebut dan membawa keuntungan kepada peniaga berkenaan.

Bagaimana dakwah boleh mengambil teknik yang digunakan dalam pemasaran untuk manfaat umat Islam? Dalam pemasaran, pelbagai teknik digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada bakal pelanggan iaitu menerusi iklan di radio, TV, akhbar, pamplet, iklan tampal-tampal kat dinding, menerusi laman web, blog, menerusi e-mel, menerusi rancangan khas di radio atau TV, sesi ceramah, melalui jabatan, melalui guru-guru sekolah, melalui laman sosial seperti mukabuku (Facebook) atau twitter, YouTube, atau melalui pujuk rayu seperti cabutan bertuah yang ramai kena tipu tu (termasuk saya juga la, dah lama dah). Banyak betul teknik yang boleh digunakan. Kenapa kita tak berdakwah dengan cara yang sama?

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada remaja sekarang yang telah menggunakan saluran Facebook untuk berdakwah. Saya sangat gembira dengan usaha mereka ini ingin berdakwah dengan memberikan panduan yang berguna untuk rakan-rakan melalui perkongsian hadis nabi, kata-kata hikmah, nasihat, fatwa dan hukum Islam. Semoga Allah memberkati mereka semua dan meletakkan mereka sebaris dengan pejuang-pejuang Islam. Kekurangannya ialah kebanyakan rakan-rakan mereka ini adalah orang yang dah tentu baik-baik, dan ada lah segelintir yang masih belum mendapat cahaya iman yang hakiki. Bagaimana dengan pengguna facebook yang masih sesat di jalan yang salah? Adakah mereka turut membaca perkongsian melalui facebook ini? Mungkin sebahagian besarnya tidak pernah pun membaca post-post seperti itu.

Usaha-usaha dakwah pun telah banyak dilakukan melalui rancangan-rancangan agama di media massa seperti radio IKIM, TV Al-Hijrah, slot pagi di TV9, TV3, TV1 dan Astro Oasis. Bagi yang ingin mendalami ajaran Islam, rancangan-rancangan ini amat baik bagi orang-orang yang telah diberi hidayah oleh Allah untuk mendalami Islam. Tapi pernah tak kita terfikir, adakah orang-orang agak jauh terpesong dari Islam yang sebenar berminat untuk mengikuti rancangan-rancangan seperti ini? Bila tertekan rancangan-rancangan agama sama ada di radio atau TV, berapa ramaikah antara kita sendiri yang kekal mendengar atau menonton rancangan tersebut, atau kita tukar aje ke saluran lain? Jadi, bagaimana nak menyampaikan dakwah kepada golongan-golongan seperti ini?

Saya tabik hormat kepada golongan tabligh yang berani bergerak dari rumah ke rumah untuk berdakwah. Mereka berani, anda berani? Terus terang cakap, saya tak berani nak buat seperti itu. Saya sendiri pun sebenarnya rimas kalau didatangi oleh orang yang tidak kita kenal pada masa kita tidak bersedia untuk menerima tetamu. Satu lagi yang saya tak minat dengan cara itu ialah kerana mereka seperti memaksa kita menyatakan azam kita untuk bersama mereka dalam majlis yang mereka anjurkan, walaupun dalam hati tidak suka. Mungkin ramai juga yang berkongsi rasa dengan saya, sebab itu ada yang menutup pintu dan duduk diam-dalam dalam rumah, malah salampun tak dijawab. Mungkin dakwah cara ini pun kurang berkesan.

Teknik yang paling popular digunakan oleh bidang pemasaran ialah pengiklanan yang nyata berkesan. Maka, pendakwah pun patut menggunakan teknik yang sama untuk berdakwah. Iklan berbentuk banner adalah yang agak murah yang kita boleh gunakan sebagai satu organisasi kecil (surau atau masjid) atau persendirian. Kalau jabatan atau agensi kerajaan, boleh gunakan iklan TV atau radio untuk berdakwah, ia pendek (kurang 30 saat) dan orang ramai tidak akan tukar channel hanya kerana iklan yang sekejap tu. Oleh itu kita dapat menyampaikan maklumat dakwah kita kepada orang ramai tanpa perlu ada yang menutup telinga atau mata atau pintu rumah. Semua orang akan mendengar dan melihat iklan tersebut. Paling penting ialah maklumat yang diiklankan itu mestilah dapat meninggalkan kesan yang mendalam pada hati pembaca atau pendengar. Iklan bukanlah tempat yang sesuai untuk menjelaskan sesuatu isu, tetapi ia boleh juga memaparkan sumber untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut isu berkenaan.

Semoga coretan ini dapat memberikan idea baru kepada gerakan dakwah di Malaysia. Saya juga telah mencadangkan kepada surau kami untuk menghasilkan banner-banner dakwah yang sesuai untuk direntangkan di tempat-tempat strategik di taman kami. Semoga usaha ini dapat diteruskan dan menjadikan taman kami tempat yang diberkati oleh Allah SWT.

No comments:

Post a Comment

Apakah asal-usul doktrin Triniti (dalam Kristian)?

What is the origin of the Trinity doctrine? The New Encyclopædia Britannica  says: “Neither the word Trinity, nor the explicit doctrin...