Tuesday 20 March 2012

MUHASABAH DIRI

Semasa saya belajar dulu, ustaz selalu berpesan, sebelum tidur kita kenalah muhasabah diri, mengingat kembali kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa yang kita lakukan seharian. Dengan itu kita mohon keampunan dengan Allah dosa kita dengannya, dan tanamkan azam untuk memohon maaf dengan orang lain jika kita ada membuat salah dengan mereka keesokannya. Itulah cara untuk menyucikan diri sebelum kita menghadapi mati kecil.

Muhasabah diri adalah serupa dengan refleksi kerana kita perlu melihat kembali apa yang telah kita lakukan seharian dan menilai semula adakah perbuatan kita itu merupakan satu kebaikan ataupun satu kesalahan yang membawa dosa. Sama ada kita sedar atau tidak. Melihat kembali ke dalam diri seolah-olah melihat diri sendiri menembusi cermin, kita tidak lihat rupa luaran kita sahaja tetapi juga melihat ke dalam hati kita.

Walau bagaimanapun, saya lebih suka menyatakan bahawa muhasabah diri atau refleksi kendiri mesti dilakukan sepanjang masa kita dalam keadaan sedar. Maknanya, kita perlu menilai apa yang akan kita akan lakukan sejak bermula dari bangun tidur lagi. Kita terjaga, kita akan fikir apa kita nak buat. Nak terus bangun ke atau baring semula sambung tidur? Kalau ikutkan hawa nafsu, kita akan sambung balik tidur, itu lagi seronok. Tapi kalau kita berjaya berfikir (itupun kalau kita berjaya menewaskan nafsu), kita boleh fikir akibat kalau kita sambung tidur iaitu kita akan bangun lewat, solat subuh pun mungkin akan terlepas dan kita akan dapat satu dosa yang besar.

Dari sudut lain, kita juga akan berfikir bahawa Allah masih mengurniakan nikmat hidup kepada kita, dan kita patut bersyukur kepadaNya, maka kita akan bertindak membaca doa bangun tidur. Bagi yang pernah belajar dengan kelebihan bangun pagi sebelum subuh, tentu akan memikir kembali apa yang telah dipelajari dan terus bangun untuk mempraktikkan pengetahuan yang telah diperolehnya itu. Itulah antara contoh bagaimana kita sentiasa perlu muhasabah diri sepanjang masa kita dalam keadaan sedar supaya kita dapat bertindak selepas berfikir tentang apa manfaat yang kita boleh dapat daripada setiap perbuatan kita.

Banyak lagi contoh yang boleh diberikan, tetapi terlalu panjang pula coretan ni. Tapi anda boleh fikirkan sendiri contohnya apa yang patut dibuat dan kenapa patut dibuat sedemikian ketika nak masuk bilik air, ketika menggosok gigi, ketika mandi, ketika berpakaian, ketika mengadap cermin, ketika bercakap dengan ahli keluarga, ketika berinteraksi dengan suami/ isteri dan anak-anak, ketika membawa kenderaan, ketika masuk ke kawasan sekolah atau tempat kerja, ketika melakukan tugasan, ketika berinteraksi dengan rakan dan pegawai atasan, dan sebagainya lagi.

Apa yang penting? Kita lakukan semua perkara kerana ingin mendapat keredhaan Allah. Inilah yang dimaksudkan oleh ustaz-ustaz buat sesuatu itu kerana Allah. Kerana Allah bermaksud kita buat sesuatu itu kerana ingin mendapat keredhaanNya dan bukan kemurkaan Allah. Lawannya ialah kita buat sesuatu itu kerana nafsu diri kita dan untuk dapat keredhaan selain daripada Allah seperti ketua jabatan, pengetua atau guru besar.

Kita perlu muhasabah diri sepanjang masa supaya kita sentiasa berada di jalan yang benar, jalan yang diredhai oleh Allah, jalan orang-orang yang diberi nikmat olehNya. Bukan jalan orang yang dimurkai Allah, dan jalan orang-orang yang sesat. Oleh itu kita kena sentiasa semak tindakan yang akan kita buat, sama ada ia akan diredhai oleh Allah atau akan dimurkai olehNya.

Perbuatan yang diredhai oleh Allah ialah perbuatan kebaikan yang diiringi niat untuk mendapat keredhaan Allah. Gosok gigi itu satu kebaikan untuk diri kita kerana ia akan membersihkan mulut kita. Tapi kebaikan itu akan jadi sia-sia kalau kita tidak berniat atau menetapkan matlamat mengosok gigi itu untuk mendapat keredhaan Allah kerana telah menurut perintahNya menjaga kebersihan. Begitu juga kalau kita memandu kereta ke tempat kerja. Ia satu kebajikan kerana kita dalam perjalanan untuk mencari rezeki yang halal, tapi jangan jadikan perjalanan itu sia-sia. Niatkan dalam hati sebelum melangkah keluar, atau kalau lupa, bila-bila masa dalam perjalanan tersebut, anda melakukan perjalanan itu kerana ingin mendapat keredhaan Allah kerana menurut perintahnya mencari rezeki yang halal. Insha’Allah, perbuatan kita itu akan diganjari oleh dengan pahala dan keberkatan.

Perbuatan yang dimurkai Allah boleh dielakkan jika kita muhasabah diri dulu sebelum melakukan sesuatu. Contohnya, apabila kita hendak berpakaian, kita nampak satu pakaian kita yang sangat cantik dan kita ingin memakainya untuk keluar rumah, tapi pakaian itu ketat sikit hingga menampakkan susuk tubuh. Kalau kita muhasabah diri, kita akan berfikir, adakah pakaian ini disukai oleh Allah? Allah suruh hambaNya menutup aurat, adakah pakaian ini akan menutup aurat kita? Adakah dengan memakai pakaian ini, kita dapat memenuhi perintah Allah untuk menutup aurat, atau ia hanya memenuhi tuntutan nafsu ingin kelihatan cantik, atau tuntutan kerja supaya kelihatan seksi dan cantik? Apabila kita bermuhasabah seperti ini sebelum kita memakai baju, pasti orang yang beriman dengan Allah akan mencari baju lain yang cantik juga, tapi menutup aurat. Pasti Allah akan memberi ganjaran pahala yang besar untuk kita.

Oleh itu, fikir-fikirkanlah sebelum bertindak. Muhasabahlah diri supaya kita tidak termasuk dalam jalan yang salah, yang dimurkai Allah. Implikasi perbuatan kita ada tiga: kita dapat pahala kerana melakukan kebaikan kerana ingin mendapat keredhaan Allah; kita tak dapat apa-apa kerana melakukan kebaikan tanpa niat kerana Allah; dan kita mendapat dosa dan laknat Allah kerana melakukan perbuatan dosa, mengingkari perintahNya dan melanggar laranganNya. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment

Apakah asal-usul doktrin Triniti (dalam Kristian)?

What is the origin of the Trinity doctrine? The New Encyclopædia Britannica  says: “Neither the word Trinity, nor the explicit doctrin...