Wednesday, 29 August 2018

Refleksi adalah Faktor Utama Kejayaan Program Bina Insan Guru

Akhirnya selepas bertahun-tahun meneruskan pengajian PhD di UPM, saya berjaya menyiapkan tesis saya bertajuk "THEORETICAL CONCEPTUALIZATION OF A TEACHER DEVELOPMENT PROGRAM IN SELECTED MALAYSIAN TEACHER EDUCATION INSTITUTES" (Ismail Mohamed, 2015).

 Dapatan utama kajian saya ialah sesuatu program pendidikan karektor atau pendidikan yang ingin membentuk keperibadian sesorang mesti melaksanakan proses refleksi dengan sempurna sebagai satu proses pembelajaran yang berkesan. Jika refleksi tidak dilaksanakan dengan betul, pembelajaran sukar berlaku. Apabila tiada pembelajaran berlaku, tidak akan ada kesedaran dalam kalangan peserta untuk mengubah sikap yang buruk kepada sikap yang lebih baik.

 Proses pembelajaran yang berlaku dalam program-program pendidikan karektor merupakan satu proses pembelajaran berasaskan pengalaman. Saya menggabungkan beberapa teori pembelajaran untuk menjelaskan bagaimana proses perubahan tingkahlaku boleh berlaku dalam program seperti ini. Rajah di bawah menunjukkan satu model pembelajaran yang saya namakan sebagai "Teori Perubahan BIG".
Program BIG adalah satu program perubahan terancang yang bermatlamat untuk membimbing guru pelatih berubah daripada seorang individu biasa menjadi seorang insan guru yang mempunyai berwatakan dan berjiwa guru sebenar. Untuk menghasilkan satu persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran bagi mengubah sikap dan tingkah laku ini, maka program ini seharusnya menyediakan satu persekitaran pengalaman pembelajaran yang mencabar.

Berdasarkan teori Pengalaman Pembelajaran Kolb (Kolb, 1984), Program BIG menyediakan peluang-peluang pembelajaran melalui pengalaman dalam situasi dan persekitaran sebenar yang berlainan daripada kebiasaan peserta program. Semasa program ini berlangsung, para peserta akan mengalami proses pembelajaran melalui pengalaman sebenar. Untuk membolehkan proses pembelajaran berkesan, mereka seharusnya mengalami empat fasa yang saling berkaitan antara satu sama lain dalam bentuk kitaran yang sentiasa berulang. Dua fasa merupakan aktiviti mental iaitu membuat refleksi dan merasai, manakala dua fasa lagi adalah aktiviti fizikal iatu memerhati dan bertindak.

Dalam persekitaran yang sebenar, para peserta akan menghadapi cabaran yang memerlukan reaksi peserta. Berdasarkan pemerhatian mereka terhadap apa yang telah berlaku, mereka akan melakukan refleksi-dalam-tindakan (Schőn, 1983) sebelum membuat keputusan bagaimana untuk bertindak balas kepada situasi tertentu. Reaksi mereka akan menunjukkan watak sebenar mereka yang akhirnya akan diperhatikan oleh jurulatih, fasilitator atau mentor. Data ini kemudiannya akan digunakan sebagai maklum balas oleh jurulatih, fasilitator atau mentor, untuk membantu peserta menganalisis pengalaman mereka secara reflektif seperti perasaan dan pemerhatian. Di sini, peserta dengan bantuan jurulatih, fasilitator atau mentor akan melakukan refleksi-atas-tindakan (Schőn, 1983).

 Para peserta boleh membuat refleksi kendiri tanpa penglibatan orang lain jika mereka telah dilatih dengan baik. Walau bagaimanapun mereka mungkin terlepas atau lupa banyak perkara semasa mereka ingin membuat refleksi selepas sesuatu aktiviti. Oleh itu, peranan jurulatih, fasilitator dan mentor dalam memberikan maklum balas kepada peserta semasa sesi refleksi adalah sangat penting untuk menyedarkan para peserta tentang kekuatan dan kelemahan mereka semasa melaksanakan aktiviti. Peranan mentor dalam menilai semua mentee mereka semasa program ini sangat penting kerana mereka adalah individu yang paling autentik untuk memerhati perubahan sikap dan tingkah laku guru pelatih sepanjang pengajian mereka di Institut Pendidikan Guru.

 Menurut Teori Perubahan Lewin (Lewin, 1952), peserta program harus mampu ‘mencairkan’ (unfreeze) sikap sendiri dengan mengetahui kekuatan dan kelemahan mereka. Menurut Lewin (1952) lagi, kadang-kadang jurulatih dan fasilitator perlu bertindak dengan memberi tekanan dan ‘membasuh otak’ untuk membolehkan proses pencairan tersebut berlaku. Dengan maklumat tersebut, mereka harus dapat membentuk kefahaman yang baru mengenai watak guru berkualiti, lantas mencipta kesedaran diri. Seterusnya dalam keadaan lain, para peserta diharapkan dapat menukar sikap dan tingkah laku ke arah bersifat guru mereka.

Berdasarkan teori Nudge (Thaler & Sunstein, 2009), jurulatih, fasilitator dan mentor perlu bertindak mendesak dengan lembut (nudge) para peserta untuk bertindak mengubah sikap dan tingkah laku mereka supaya bersesuaian dengan sikap dan tingkah laku seorang guru yang berkualiti. Mereka perlu mengamalkan sikap dan tingkah laku yang baru ini dalam aktiviti lain dan merasai kesan perubahan tersebut. Sekali lagi mereka perlu memerhati dan menyedari perubahan tersebut menerusi proses refleksi yang dilaksanakan secara berterusan oleh jurulatih, fasilitator dan mentor.

Kitaran pengalaman pembelajaran ini mungkin perlu berlaku beberapa kali untuk menghasilkan pembelajaran bermakna. Dengan kefahaman ini, para peserta harus sedar bahawa mereka perlu mengubah sikap mereka atau mengekalkan mereka akhlak yang sesuai dengan watak seorang guru yang berkualiti. Peserta harus mengamalkan sikap yang baru tersebut untuk "membekukannya" (Lewin, 1952) ia menjadi satu tabiat. Oleh itu program BIG seharusnya menyediakan aktiviti-aktiviti yang berterusan bagi mereka untuk mengamalkan sikap baru.

Mentor harus sentiasa memerhati, memberi maklum balas, memberi nasihat dan mendesak dengan lembut mentee mereka supaya tidak kembali ke tabiat buruk lama mereka. Justeru pada akhir program, para peserta akan berubah daripada seorang rakyat biasa menjadi seorang yang mempunyai karakter guru sebagaimana yang dijangkakan dalam matlamat program. Kerangka konsep ini mencadangkan bahawa kesedaran untuk perubahan boleh berlaku dalam kalangan peserta dengan atau tanpa bantuan pelaksana program. Para peserta boleh mempunyai kesedaran mereka sendiri jika mereka mampu memikirkan secara reflektif. Tetapi, jika mereka mempunyai persekitaran yang menyokong dan menerima maklum balas yang berkesan daripada fasilitator atau mentor, pelajar dewasa boleh digalakkan untuk belajar dan berubah (Moberg, 2008; Mezirow, 1981).

 Model ini bukan satu proses linear kerana terdapat dua gelung pengalaman pembelajaran dalam model ini. Lingkaran pertama harus berlaku dalam fasa pertama program BIG iaitu semasa program perkhemahan luar. Oleh kerana kesan daripada program yang biasanya merupakan kesan jangka pendek, lingkaran kedua perlu berlaku beberapa kali semasa fasa lain program BIG. Satu kajian oleh Howell (2014) untuk menguji kesan menonton filem terhadap penonton dan kebimbangan mengenai perubahan iklim mendapati bahawa, perasaan bimbang memuncak betul-betul selepas menonton filem ini tidak kekal berterusan untuk satu jangka masa panjang. Albertson (2009) juga mendapati bahawa mesej berulang-ulang dalam rancangan pendidikan televisyen dapat mempengaruhi sikap berbanding rancangan yang disiarkan sekali sahaja. Untuk memastikan bahawa program ini mempunyai kesan jangka panjang, perubahan yang perlu dikekalkan dan kecenderungan untuk kembali kepada tabiat lama harus dihalang.

 Artikel penuh tentang model ini telah saya hantar ke jurnal Institut Pendidikan Guru Malaysia yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

Apakah asal-usul doktrin Triniti (dalam Kristian)?

What is the origin of the Trinity doctrine? The New Encyclopædia Britannica  says: “Neither the word Trinity, nor the explicit doctrin...